Mengeluh kesah dikatil. Terasa sakit yang amat dipinggang dan punggung. Pusing-pusing ke kiri ke kanan sambil menggosok-gosok belakang. Tiada yang kurang. Risau dan simpati, si dia membantu menyapu minyak ke belakang sambil menyediakan makan malam. Tak pernah makan bertambah, malam itu lah aku berselera makan nasi putih panas-panas dengan lauk ringkas sahaja. Semakin lega namun sakit tidak pernah berhenti. Ku baring melunjur kaki di depan televisyen, cuba menghayati intipati rancangan dengan harapan sakit dapat dilupakan. Beberapa minit berlalu dan aku hampir tertidur. Sekejap. Ada yang tak kena. Basah. Tilam yang dihampar di ruang tamu basah lencun dengan air jernih putih, cair. Dengan nada terkejut, ku maklumkan pada si dia. Sekilas ku terlihat semua persiapan telah disediakan oleh dia di depan pintu. Dia ku nampak mula panik dan kelam kabut membantuku bangun. Di dalam kereta, dia asyik menanyakan tentang keadaanku tanpa menumpukan perhatian pada pemanduan. Ku menegur. Biar. Pandu sahaja kereta itu. Ku masih larat dan tiada apa-apa. Tidak lama, hanya dua kali menempuh lampu isyarat, destinasi berada di depan mata. Pintu depan tertutup. Ku lihat ada sepasang lagi manusia yang menanti dalam keresahan di situ. Si dia bergegas ke pintu hadapan dan menekan loceng sambil menerangkan situasi kami. Si lelaki kulit putih berambut perang itu mengambil kerusi roda dan menyorong cepat-cepat ke arahku setelah mendengar percakapan si dia di interkom. Aku hanya tersenyum lemah tanda terima kasih. Sempat dia menjerit. Good luck!
Setiba di meja pendaftaran, kami disambut oleh beberapa perempuan berpakaian seragam dengan senyuman di bibir, sebati dengan uniformnya. Menunggu beberapa minit sahaja, ada bilik telah tersedia. Ku terangkan pada salah seorang yang mengambil keterangan kami bahawa sudah tiada masa. Harus cepat. Ku dapat rasakan kesakitan itu kini mencucuk. Hampir ku tak selesa lagi duduk di kerusi itu. Sekarang baring. Bilik lengkap dengan peralatan ku pandang dengan seribu rasa. Wayar-wayar berselirat di perutku bagi memastikan keadaan masih terkawal. Si dia setia di sebelah kananku sambil ku pegang erat jari jemarinya. Si uniform masih lagi cuba memasang seribu satu wayar di badanku namun tiba-tiba menjerit. I can see the head! Jelas pekikan itu, doktor mula bergegas masuk dengan segerombolan kawan-kawan si uniform. Doktor menjelaskan di sudut sana terdapat lagi satu kumpulan doktor dan uniformnya bersedia dengan satu bekas putih jernih, seolah katil. Mereka bersedia menerima yang bakal keluar kerana dia belum matang.
When you are ready, push! Ku hanya mengangguk sambil terfikir, bagaimana sedang ku tahu ku bersedia? Terasa perut memulas-mulas dan ingin ku teran sekuat-kuat hati. Ku tarik nafas dan cuba 'push' semampu aku. Sakit di abdomen bawah semakin memuncak. Ku cuba berkali-kali. Push. Push. Push. Si doktor mula resah. Terlalu lama masa diambil dan bimbangkan komplikasi yang bakal berlaku, si doktor menerangkan strateginya. Forceps. Jika belum keluar. Aku risau namun penat teramat. Perasaan di ketika itu hanyalah mahu semuanya selesai dan mahu tidur. Ku teringat pesanku pada si dia. Jaga diri dan anugerahNya sebaik-baiknya sekiranya ku tewas di medan perperangan ini. Ku terasa yang ku akan tewas. Ku betul-betul ingin tidur sekarang. Ku teringat pesan bonda, jangan lelap. Posisi mesti betul. Posisi! Seakan mendapat tiupan semangat sambil mulut menyebut nama yang Maha Esa, ku berikan yang terbaik. Terlangkup!
Meniarap dengan darah penuh membasahi di atas perutku. Doktor menarik nafas lega. Si dia mengucap alhamdulillah. Ku sempat melihat sekilas tubuh kecil itu sebelum diambil dan diuruskan oleh satu lagi kumpulan bagi bayi-pra matang. Si dia mengucup dahiku sebelum berlalu pergi bersama si kecil ke bilik lain.
Tinggallah aku dengan si uniform dan doktor bagi urusan terakhir. Jahit!
..sambung??..
No comments:
Post a Comment